BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, October 18, 2010

Perbandingan Ujian Kemajuan Dan Ujian Kefasihan

Ujian kemajuan adalah untuk menguji pencapaian dan kebolehan setiap murid dalam keadaan sebenar. Ia digunakan untuk mengetahui dan menentukan sejauh mana murid tahu dan berupaya melihat potensi diri. Ujian kemajuan juga dikenali sebagai pentaksiran autentik.

Ujian Kemajuan digunakan di dalam bilik darjah dan hanya dinilai oleh guru kelas. Ujian kemajuan bertujuan untuk mengukur dan menilai setakat mana pelajar-pelajar telah menguasai bahan/perkara iaitu perkara yang diajar tentang sesuatu tajuk tertentu.

Ujian ini dapat dijalankan melalui pentaksiran pembangunan iaitu mentaksir kemajuan menerusi perubahan tingkah laku, sikap, personal dan pembangunan sosial. Ianya menggunakan skala pemerhatian dan likert. Ia juga hendaklah berasaskan kepada objektif pengajaran, program pembelajaran yang telah diikuti oleh murid dan pengetahuan yang ingin diuji.

Ujian ini juga dapat dijalankan melalui pencapaian berasaskan persampelan pemikiran, iaitu yang mengkehendaki murid menjawab soalan, menyelesaikan masalah, menulis atau menjalankan sesuatu aktiviti. Melalui persembahan dan pameran juga dapat mengukur tahap kemajuan seseorang murid atau individu iaitu dengan menggunakan dan memerlukan kompetensi diri murid tentang menunjukkan kebolehan visual, persembahan, kemahiran atau lisan.

Melalui portfolio juga kemajuan sesorang murid dapat diuji iaitu melalui pencapaian dan kebolehan berteruskan berasaskan koleksi tugasan sebenar , hasil lukisan, penulisan, ujian dan kuiz.

Hasil daripada kemajuan membolehkan guru mengetahui dengan lebih jelas tentang kemajuan setiap murid dan juga kemajuan darjahnya secara keseluruhan.

Ujian kefasihan digunakan untuk menentukan tahap mengetahui dan menguasai sesuatu bahasa. Digunakan untuk menempatkan seseorang dalam kumpulan pembelajaran yang sesuai dan pengetahuan dan kebolehan mereka. Ujian ini dilakukan bagi menentukan setakat mana murid mengetahui dan menguasai sesuatu bahasa secara keseluruhan.

Ia berbeza dengan ujian pencapaian kerana ujian kefasihan tidak berdasarkan kepada sesuatu isi pelajaran sebaliknya menilai kebolehan global (umum) pada bahasa yang dipelajari murid terbabit. Ujian ini sering digunakan bagi menempatkan seseorang dalam kumpulan pembelajaran yang sesuai dengan kebolehannnya. Ia dinilai dari segi penyebutan dan pengucapan dengan betul dan jelas,Intonasi dan nada yang betul,pemilihan ungkapan yang betul,mimik muka yang jelas sesuai untuk membayangkan sesuatu maksud dengan jelas, posisi tubuh yang betul, pergerakan mata (mata pembaca yang lemah akan berhenti untuk mennyerap perkataan).

Perbandingan Ujian Pencapaian Dan Ujian Bakat

Ujian pencapaian yang juga disebut sebagai ujian sumatif adalah jenis ujian yang diberi setelah kursus tamat dan tujuannya ialah untuk menilai hasil pengajaran. Ia diberikan untuk menilai kemajuan murid dalam pelajarannya dan juga untuk mengukur pencapaian murid secara menyeluruh.

Ia bertujuan untuk menentukan setakat mana pelajar telah menguasai kemahiran, bahan atau isi pelajaran yang telah diajar kepada mereka. Biasanya soalan-soalan yang dikemukakan pula berkaitan dengan isi pelajaran yang telah diajar sahaja. Pembentukan ujian ini adalah berasaskan sukatan pelajaran.

Ujian pencapaian adalah berterasakan ujian rujukan norma. Ujian ini bertujuan untuk mengukur aspek pencapaian akademik, aplitud, sahsiah, minat, sikap dan sebagainya. Ujian ini juga bertujuan untuk mengukur sejauh mana sesuatu kumpulan murid atau seorang murid berkenaan telah menguasai sesuatu topik yang telah dipelajari.

Ujian pencapaian boleh dijalankan pada akhir kursus atau setelah tamatnya sesuatu unit pembelajaran atau mengikut penggal atau semester persekolahan. Ia juga merupakan peperiksaan untuk menentukan penempatan jenis sekolah dan jurusan pelajar.

Ujian bakat adalah ujian untuk menguji tentang kebolehan, iaitu membuat telahan bakat seseorang individu. Ujian jenis ini adalah khusus untuk menelah prestasi seseorang pelajar dalam pelajaran atau kemahiran bahasa asing yang akan dipelajarinya. Ia melibatkan data-data bahasa yang ‘artifical’ yang mengandungi pelbagai unsur bahasa seperti fonetik, tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainnya.

Ujian bakat bertujuan untuk mengesan bakat seseorang pelajar dalam menguasai bahasa asing sama ada khusus pada satu-satu bahasa atau secara keseluruhan.

Ujian ini juga bertujuan untuk mencungkil bakat dan keistimewaan seseorang. Kaedah ujian bakat ini sesuai untuk penempatan pelajar dan pemilihan pengkhususan.

Hasil ujian direkod dan dianalisis untuk membantu guru memahami masalah pelajar dan mengenalpasti pelajar yang berbakat untuk mempelajari sesuatu bahasa dengan cepat.

perbandingan Antara Ujian Rujukan Norma Dan Ujian Rujukan Kriteria

Ujian rujukan norma ialah ujian untuk membandingkan pencapaian pelajar. Perbandingan ini dibuat antara seorang pelajar dengan pelajar yang lain atau antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain dalam ujian yang sama. Misalnya ujian PMR, SPM, STPM dan sebagainya.

Ujian ini juga bertujuan untuk menentukan kedudukan seseorang murid itu di kalangan murid-murid yang lain. Ujian ini adalah sejenis ujian sumatif. Aras kesukaran ujian ditetapkan pada tahap 25% mudah, 50% sederhana dan 25% lagi sukar. Kekurangan ujian rujukan forma ialah keputusan ujian tidak menggambarkan sama ada murid adalah bersedia untuk bergerak keperingkat yang lebih tinggi atau lebih baik.

Ujian ini juga tidak sesuai untuk megukur objektif afektif dan psikomotor contohnya nilai dan sikap adalah bersifat peribadi, oleh itu membandingkan murid adalah tidak sesuai. Untuk mengukur pembeljaran psikomotor satu ketetapan keterangan adalah perlu untuk membuat penghakiman ke atas individu. Ujian rujukan norma lebih menjurus kepada sikap pilih kasih.

Ujian rujukan kriteria adalah ujian untuk membandingkan pencapaian pelajar dengan kriteria yang telah ditetapkan. Ianya tidak melibatkan perbandingan antara calon. Ianya digunakan untuk menentukan pencapaian individu mengikut piawaian atau kriteria tertentu yang telah ditetapkan dalam sesuatu bidang dan kemahiran pembelajaran.

Ujian ini dijalankan selepas sesuatu kemahiran telah diajar dan keputusannya digunakan untuk membandingkan kriteria yang telah ditetapkan sebelumnya. Contohnya, ketetapan atau kriteria telah ditetapkan bahawasanya murid harus dapat menjawab sekurang-kurangnya 6 soalan daripada 10 soalan dengan betul tetapi jika murid hanya dapat menjawab 4 soalan dengan betul maka murid itu dianggap gagal untuk menguasai kemahiran yang telah ditetapkan.

Ujian yang dijalankan atau ditetapkan kepada objektif pembelajaran dipanggil ujian berasaskan objektif atau rujukan objektif. Ujian rujukan kriteria merupakan salah satu cabang dalam ujian formatif dan oleh itu memerlukan tindakan pemulihan dan pengayaan

perbandingan ujian formatif dan ujian sumatif

Perbandingan Ujian Formatif Dan Ujian Sumatif

Ujian formatif ialah ujian yang dijalankan secara berterusan, iaitu semasa pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Tujuannya ialah untuk mengenal pasti kelemahan yang wujud semasa pengajaran dan pembelajaran. Dapatan daripada ujian formatif ini akan memberi maklum balas kepada guru dan dengan itu guru dapat membaiki dari segi pengajarannya dan memberi tumpuan yang lebih pada tajuk-tajuk yang menimbul kesulitan kepada pelajar.

Oleh itu ujian formatif adalah penting untuk menentukan sesuatu kursus atau program itu berkesan dan menepati matlamat yang ditentukan. Ujian yang boleh dibentuk dan ditadbir secara formal atau tidak formal bagi mengesan kemajuan atau penguasaan murid terhadap sesuatu pembelajaran. Ujian ini juga bertujuan Mengenal pasti tahap penguasaan dan kemajuan murid dan seterusnya mengambil langkah susulan bagi membaiki kelemahan yang wujud.

Ujian ini dapat dijalankan secara formal,iaitu pentaksiran pensel-kertas yang melibatkan kemahiran bahasa. Dimana murid perlu menguasai kemahiran membaca dan memahami dan kemahiran menulis,ujian lisan adalah terkecuali daripada pentaksiran pensel-kertas ianya hanya melibatkan kemahiran kognitif. Selain itu ujian ini juga dapat dijalankan secara tidak formal iaitu melalui pemerhatian, soal jawab, tugasan, latihan.

Ujian ini juga boleh dibuat secara individu atau dalam kumpulan. Contoh ujian formatif ialah ujian yang guru beri di bilik darjah seperti ujian ringkas, kuiz, kerja rumah untuk mengetahui tahap kebolehan pelajar. Ujian ini dapat membaiki kelemahan murid serta merta dengan mengulang semula topik pembelajaran iaitu melalui aktiviti pemulihan,serta menjalankan aktiviti pengukuhan iaitu melalui aktiviti pengayaan

Ujian sumatif ialah ujian yang dijalankan di akhir sesuatu kursus atau program, iaitu selepas beberapa topik pembelajaran atau pada pertengahan atau akhir penggal persekolahan. Ujian sumatif ialah ujian yang dijalankan secara formal bagi mengesan pencapaian murid dalam tempoh tertentu persekolahan.

Ujian ini bertujuan untuk memperoleh maklumat tentang pencapaian pelajar pada kursus itu, atau untuk mengetahui setakat mana keberkesanan program yang telah dijalankan itu. Selain itu tujuan ujian sumarif adalah untuk mengenal pasti pencapaian pelajar untuk beberapa topik pembelajaran dan seterusnya memberikan skor dan gred pencapaian pelajar.

Ujian sumatif juga diguna untuk tujuan persijilan. Contoh ujian sumatif ialah ujian pada peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Ujian ini dibuat secara formal ianyan melibatkan ujian pensel-kertas dan lisan. Ujian sumatif dijalankan secara berkumpulan biasanya di suatu tempat yang telah ditetapkan.

Selain daripada itu ujian ini adalah bertujuan untuk menempatkan murid mengikut kumpulan pencapaian yang sesuai.

Ujian ini juga memberikan pengiktirafan kepada pelajar dengan pembahagian sijil, hadiah dan sebagainya.

JADUAL SPESIFIKASI UJIAN

Definisi JSU ( Jadual Spesifikasi Ujian)

Ia menghuraikan aspek-aspek pencapaian yang hendak diukur serta memberikan panduan untuk mendapatkan satu sampel item-item soalan.

Kepentingan JSU

· Dapat mengelakkan ujian yang dibina secara sembarangan dan dapat dilakukan secara terancang dan rapi.

· Dalam JSU, bilangan soalan bagi sesuatu tajuk diberi berdasarkan pentingnya tajuk atau objektif pelajaran

· Akan menjamin kesahan dan kebolehpercayaan ujian.

· Membolehkan ujian yang sama dibina oleh orang lain.

· Dapat menstabilkan taraf dan aras kesukaran ujian dari setahun ke setahun.

· Perbandingan dapat dibuat di antara satu ujian dengan ujian yang lain

Langkah-langkah Penyedian JSU (Jadual Spesifikasi Ujian)

JSU mengandungi maklumat tentang:

· Bentuk dan panjangnya ujian

· Aras kesukaran dan juga aras kemahiran yang diuji

· JSU yang dirancang dengan baik akan menolong dalam penentuan kesahan dan kebolehpercayaan ujian itu.

· Pembahagian soalan untuk tiap-tiap unit kandungan mesti sama dengan penegasan yang diberi dalam pengajaran.

· Kepentingan aras mesti bersesuaian dengan kebolehan murid-murid yang akan diuji.

· Terdapat dua jenis soalan yang boleh digunakan iaitu soalan objektif dan soalan subjektif.

· Penggubal soalan mesti menentukan jumlah soalan untuk ujian itu.

· Masa mestilah cukup supaya 80% daripada murid-murid dapat menjawab soalan.

Langkah pertama

1. Menyenaraikan tajuk-tajuk yang hendak diuji

2. Mengira jumlah masa bagi setiap tajuk yang diajar.

Langkah dua

1. Menentukan soalan yang ingin dibina. Contohnya; soalan subjektif atau soalan objektif (bergantung kepada format)

2. Meletakkan jumlah soalan bagi setiap topik.



Jumlah Soalan

Langkah tiga

1. Menentukan aras kesukaran

2. Menentukan model aras kesukaran model (JSU)

3. Lazimnya JSU mengamalkan Taksonomi Objektif Pendidikan Bloom.

Langkah empat

1. Memastikan jenis ujian yang akan/ hendak diuji.

2. Jenis soalan yang boleh digunakan; ujian objektif, ujian esei, dan lain-lain. (bergantung kepada format)

Langkah Lima

1. Menentukan bilangan soalan bagi setiap komponen

2. Penentuan aras kesukaran soalan ( soalan mudah kepada soalan susah)

3. Menetapkan pemarkahan.

Langkah enam

1. Menyatakan matapelajaran

2. Tingkatan atau kelas

3. Susunan nombor soalan mengikut tajuk.

PEMBINAAN UJIAN

SOALAN OBJEKTIF

DEFINISI

Soalan objektif merupakan perkara atau alat yang digunakan untuk mendapatkan respon.
Soalan objektif juga merupakan satu bentuk instrumen pentaksiran yang menggunakan item objektif. Item seumpama ini sesuai digunakan untuk mentaksir pengetahuan, kemahiran intelektual dan kemahiran berfikir. Ujian jenis ini memerlukan pelajar menulis atau memilih satu jawapan yang betul atau paling baik. Apabila sesuatu semakan jawapan dibuat semua pemeriksa akan memberi markah jawapan yang sama.

“Soalan objektif dibentuk daripada beberapa item objektif yang boleh diperiksa secara objektif iaitu pemeriksa berlainan memperolehi skor yang sama ketika memeriksa tindak balas yang serupa”

(Gronland,1977).

Antara contoh soalan berbentuk objektif:

  • Item jenis pendek
  • Item jenis padanan
  • Item jenis anekapilihan
  • Item kloz

Soalan berbentuk objektif terbahagi kepada dua jenis:

  1. Item respon bebas
  2. Item respon tetap (item objektif pilihan)

Item respon bebas

Item jenis respon bebas memerlukan calon meneliti soalan dan menuliskan sendiri jawapan sendiri. Biasanya jawapan yang ditulis pada hujung soalan. Terdapat juga soalan yang berbentuk melengkapkan penyataan.

Contoh;

1. Apakah lawan bagi perkataan rajin ? ________

2. Kita mesti ______bermain sekarang sebab hujan.

Item respon tetap (item jenis pilihan)

Item respon tetap memerlukan pelajar memikirkan jawapan yang paling betul atau paling tepat. Jawapan dipilih daripada dua atau lebih pilihan.

Jenis soalan respon tetap;

1. Format salah betul

2. Padanan

3. Aneka pilihan

Format salah betul

Soalan jenis ini mengandungi penyataan yang perlu ditandakan dua pilihan sahaja iaitu betul (B) atau salah (S), setuju (S) atau tidak setuju (TS), dan ya (Y) atau tidak (T).

Contoh;

Tandakan sama ada Betul (B) atau SALAH (S) bagi contoh antonim berikut:

1. Hitam – Putih ( )

Padanan

Soalan jenis ini memerlukan pelajar memilih jawapan dengan memadankan objek atau perkara yang berkaitan di sebelah kiri atau di sebelah kanan. Bilangan padanan tidak perlu terlalu banyak bagi mengelakkan kekeliruan semasa menjawab. Ayat yang digunakan juga tidak perlu terlalu panjang.

Aneka Pilihan

Aneka pilihan tergolong dalam item tetap kerana item jenis ini diberikan tindak balas tetap.

Jenis item aneka pilihan;

1. Berbentuk soalan

2. Pokok soalan berbentuk ayat tidak lengkap

3. Jenis jawapan terbaik

4. Analogi

5. Antonim

6. Jenis negatif

7. Mengisi tempat kosong

8. Item jenis campuran

9. Teknik kloz

Terbahagi kepada tiga jenis pilihan:

1. Stimulus (rangsangan) merupakan bahagian soalan yang mengandungi maklumat khusus dimana soalan itu didasarkan, mungkin dalam bentuk teks, grafik, jadual, atau perbualan.

2. Stam merupakan bahagian soalan yang mengandungi tugasan dan biasanya berbentuk ayat, ayat tidak lengkap atau soalan.

3. Jawapan pilihan merupakan bahagian soalan yang mengandungi jawapan pilihan yang berbentuk angka simbol, frasa, gambarajah, jadual dan lain-lain.

Perkara berikut harus dipatuhi semasa membina soalan jenis aneka pilihan:

1. Arahan mesti jelas dan mudah difahami.

2. Ayat yang digunakan tidak berbunga-bunga.

3. Jawapan yang disediakan haruslah logik.

4. Elakkan menggunakan perkataan semua di atas betul atau semua di atas salah.

5. Aras kesukaran haruslah setara.

6. Jawapan disusun mengikut urutan abjad atau nombor.

7. Jawapan juga perlu disusun mengikut dari ayat pendek ke ayat paling panjang.

Kelebihan dan Kelemahan Ujian Objektif

Ujian objektif mempunyai beberapa kelebihan dan di antaranya ialah:

a) Ujian ini mempunyai objektif ujian tugas calon dan asas penilaian lebih jelas dan lebih tepat.

b) Ia bebas daripada penyelewengan pemarkahan. Keadilan dari segi pemarkahan tersebut terjamin.

c) Tidak menggalakkan penipuan.

d) Ujian ini mempunyai nilai potensi diagnostik yang tinggi.

e) Ia boleh diskor dengan tepat.

f) Ia juga boleh diskor dengan menggunakan mesin dan tidak memerlukan orang-orang yang terlatih.

g) Pemeriksaan boleh dipercayai.

h) Ujian ini bebas daripada artikulasi verbal. Ia tidak memerlukan kefasihan bahasa.

i) Ia dapat mengukur proses mental yang tinggi.

j) Ia memberi sumbangan kepada sampel isi yang luas.

k) Ia dapat menyumbang kepada cara pengumpulan item yang baik.

Di samping kelebihan dan kebaikkannya ini, terdapat juga kelemahan-kelemahan pada ujian objektif ini:

a) Ia tidak dapat mengukur kebolehan pelajar memilih, mengatur dan membuat sentisis idea-idea dan melahirkannya secara sepadu.

b) Ada kecenderungan menggalakkkan pelajar-pelajar meneka.

c) Semasa menduduki peperiksaan calon terpaksa menggunakan banyak masa untuk membaca dan berfikir.

d) Ujian ini memaksa guru-guru mengambil masa yang banyak untuk menyediakannya. Banyak tenaga yang digunakan.

e) Ia tidak dapat mengukur keaslian.


SOALAN SUBJEKTIF

DEFINISI

Soalan subjektif merupakan satu bentuk penyataan yang berbentuk pertanyaan dalam instrumen pentaksiran untuk menguji pengetahuan, pengalaman, kemahiran serta tahap kebolehan kognitif calon melalui respon secara tulisan.

Terdapat dua jenis soalan subjektif:

1. Item jenis struktur

2. Item jenis esei

Prinsip pembinaan soalan jenis struktur

Item jenis struktur terbentuk daripada satu atau dua bahagian isi kandungan jawapan yang mengandungi beberapa patah perkataaan dan bahan-bahan yang disertakan pada soalan. Jenis soalan sebegini mengehadkan isi dan bentuk jawapan. Jawapan yang ditulis biasannya berbentuk pendek dan tidak panjang. Jawapan tidak memerlukan huraian lanjutan.

Prinsip pembinaan soalan jenis esei

Aras kesukaran soalan hendaklah setara. Bahasa yang digunakan tidak perlu berbunga-bunga. Soalan hendaklah jelas dan sesuai dengan aras kemahiran pelajar.

Terdapat dua jenis item esei

  1. Item tindak balas terhad
  2. Item tindak balas lanjutan

Item tindak balas terhad

Item tindak balas terhad membataskan isi dan bentuk tindak balas. Item jenis ini juga dihadkan kepada skop/topik tertentu sahaja. Item jenis ini berupaya mengukur aras kognitif isi yang terbatas.

Item tindak balas lanjutan

Item jenis ini berbeza daripada item tindak balas terhad. Item jenis ini tidak membataskan isi dan bentuk tindak balas. Pelajar akan dirangsang untuk berfikir dan mengaitkan serta mengaplikasikan pengetahuan serta pengalaman yang dipelajari di bilik darjah atau pengalaman sedia ada murid dalam jawapan mereka.

Kelebihan dan kelemahan Ujian Subjektif

Seperti ujian objektif, ujian jenis subjektif juga mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri. Antaranya ialah:

a) Ia boleh dibina dengan mudah. Bilangan soalan yang dibina sedikit.

b) Ujian jenis ini berupaya mengurangkan tekaan jawapan.

c) Ia berupaya memberi peluang kepada calon untuk menunjukkan kebolehannya. Mereka boleh memilih aspek-aspek pembelajaran yang paling penting dan wajar, mereka boleh mengelolakan pengetahuannya, mereka boleh mengemukakan pendapat dan sikapnya, dan boleh membuktikan inisiatif daya cipta atau keaslian.

d) Membolehkan calon-calon menggunakan pengetahuan dan kemahiran mereka menghampiri situasi sebenar.

e) Berguna untuk mengesan punca kelemahan, salah tafsiran, konsep-konsep yang samar-samar.

f) Berguna untuk menggelakkan pemikiran pembelajaran pada peringkat atau proses mental yang tinggi.

g) Ia mempunyai potensi untuk mengukur keaslian

h) Tidak menggunakan masa yang banyak untukmenyediakannya.

Dari segi kelemahan-kelemahannya pula, ujian ini memperlihatkan:

a) Nilai potensi diagnostik yang rendah

b) Ia cenderung untuk menggalakkan penipuan. Pelajar-pelajar boleh menghafaz karangan dan menuliskannya dalam ujian itu.

c) Tidak boleh diskor dengan mesin. Ia memerlukan orang-orangyang terlatih.

d) Pemeriksaan kurang boleh dipercayai.

e) Tidak dapat menyumbang kepada sample isi yang luas.

f) Ia memerlukan masa yang panjang bagi murid menjawabnya dan bagi pemeriksa memeriksanya. Ia mahal dan membosankan.

g) Tidak bebas daripada artikulasi lisan. Ia memerlukan kefasihan berbahas.